Asal-usul nama Turki

Nama Turki atau Türkiye dalam bahasa Turki terdiri daripada dua komponen, iaitu: etnonim Türk dan akhiran abstrak –iye yang bermaksud "pemilik", "tanah" atau "perihal" (yang berasal dari akhiran Arab –iyya yang serupa dengan akhiran –ia dalam bahasa Yunani dan Latin). Catatan terawal istilah "Türk" atau "Türük" sebagai autonim terkandung dalam catatan tulisan-tulisan Orkhon oleh kaum Göktürk (Turki Samawi) dari Asia Tengah (c. abad ke-8 M). Tu–kin dijadikan bukti seawal tahun 177 SM sebagai nama berian orang Cina kepada penduduk kawasan selatan Pergunungan Altai di Asia Tengah. Nama Melayu "Turki" berasal dari bahasa Latin Pertengahan iaitu Turchia (c. 1369).[11] Nama ini ada kata seasal dalam bahasa Yunani, iaitu Tourkia yang asalnya digunakan oleh bangsa Byzantium untuk memperihalkan Hungary pada zaman pertengahan[12][13] (kerana orang Hungary dan Turki mempunyai persamaan leluhur) tetapi kemudian, mereka mula menggunakan nama ini untuk memaksudkan kawasan taklukan Seljuk di Anatolia pada ratusan tahun selepas Pertempuran Manzikert pada tahun 1071.